Wednesday, May 26, 2010

Terima Kasih Prof. Muhd Kamil Ibrahim

Saya berada di Kampus Segamat bersama rakan penyelidik yang lain iaitu Isma, Ayu dan Ila untuk menyelesaikan beberapa perkara berkenaan buku dan penyelidikan. Saya amat senang bersama pasukan ini atas kerjasama dan komitment yang diberikan untuk mencapai matlamat kami.Terima kasih buat Ila, Isma dan Ayu. Semoga usaha kita ini diberkati Allah dan membuahkan kejayaan.

Perbincangan kami bermula dengan mengemaskini buku yang perlu dihantar segera ke UPENA. Ila yang banyak berhubung dengan pihak UPENA UiTM Johor dan UPENA Shah Alam. Nampaknya maklumat yang kami terima agak berbeza. Akhirnya saya memilih untuk memenuhi tuntutan UPENA Shah Alam. Alahai...menurut Ila kami perlu menunggu hampir 5 bulan untuk UPENA Shah Alam memproses buku kami. Itu pun kalau data dan maklumatnya bersih daripada sebarang kesalahan. Syaratnya juga agak ketat...kami perlu menghantar seperti sebuah buku yang lengkap jika mahukan proses 5 bulan tadi. Agaknya jika sekadar hantar manuskrip biasa-biasa mungin akan memakan masa satu atau dua tahun baru buku ini akan dikeluarkan. Mungkin ini jawapannya mengapa ramai pensyarah tidak berminat untuk UPENA menerbitkan buku mereka.

Saya memerlukan Kata Penghantar di dalam buku saya. Akhirnya saya memilih Prof. Dr. Muhd Kamil Ibrahim untuk mencatat sesuatu di dalam buku ini. Agak segan juga pada mulanya untuk berjumpa beliau. Lalu saya minta Ila menguruskan semua itu. Saya tidak mengharap kerana Prof. mempunyai nama besar dalam industri buku. Tapi perasaan saya itu meleset. Saya sangat sayu atas respon yang Prof. Kamil berikan.Begitu mudah beurusan dengan beliau kerana beliau ikhlas mahu membantu kami. Kesibukan beliau tidak menghalang beliau membantu kami. Ketika beliau terkejar menjalankan tugas ke Singapura beliau masih sempat mengedit catatan Kata Penghantar yang kami berikan. Saya sudah menduga penulis berpengalaman seperti beliau mempunyai ayat-ayat yang sungguh puitis berbanding dengan kami yang masih baru mencuba-cuba dunia penulisan. Saya berdoa agar Prof. Muhd Kamil dan keluarga sentiasa dimurahkan rezeki dan dipermudahkan dalam perjalanan hidup. Ini yang beliau titipkan buat kami...

Hampir lima tahun saya menulis blog Kehidupan Ringkas tapi Signifikan. Penulisan yang bermula atas dasar suka-suka akhirnya menjadi satu ketagihan. Malah ia mempunyai pengikut setia, tidak ramai tetapi cukup untuk berasa dihargai. Blog membawa perhubungan antara manusia menjadi tersangat hampir.


Namun saya pasti, lima tahun yang lalu saya terkial-kial untuk memulakan blog sendiri. Hanya kekuatan dalaman dan usaha yang bersungguh-sungguh menjadikan saya degil belajar secara “cuba dan bersedia menerima kesilapan” dalam membangunkan blog tersebut. Ia tidaklah terlalu sukar tetapi tidak pula terlalu mudah bagi mereka yang fobia IT.


Ramai orang bertanya, “bagaimana mahu memulakan penulisan di blog?”. Ia agak tidak realistik untuk saya berkata, “mari saya ajar bagaimana menggunakan wordpress” setiap kali ada orang mengemukakan pertanyaan tersebut.


Saya bosan!


Kini saya sangat teruja apabila ada yang mahu menulis buku yang secara mudah dan ringkas mengajar khalayak bagaimana mahu membina blog. Nanti saya boleh khabarkan, “bacalah buku Gelombang Baru Membina Blog Berasaskan Web 2.0”. Ia sebuah buku yang praktikal, santai, menyeluruh dan mempunyai kaedah langkah demi langkah.


Secara ringkas, buku ini boleh menjadi rujukan berguna kepada mereka yang ingin menggunakan kemudahan internet melalui pembangunan blog walaupun bagi mereka yang “risau IT”.


Saya benar-benar berfikir begitu.


Mudah-mudahan buku ini menjana ilmu yang bermanfaat.


Muhd Kamil Ibrahim

Profesor Perakaunan

Universiti Teknologi MARA

www.muhdkamil.org


No comments:

Post a Comment

LinkWithin